Tuesday, August 12, 2014

AMAL DALAM SEGALA HARI 10 ZULHIJJAH

(251) -  Bab pada menyatakan hadis yang membicarakan amal dalam segala hari 10 Zulhijjah. Ketahuilah! Ya saudaraku. Ini satu masa atau waktu yang tinggi kelebihannya berbuat amal ibadat didalamnya, iaitu 9 hari dari bulan Zulhijjah. Apa jua amal yang saleh didalamnya maka sangatlah besar balasannya. Hadis at-Turmizi - Telah diriwayatkan daripada seorang  daripada sahabat Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam yang sangat besar alimnya dan saudara sepupunya (Saidina Abdullah ibnu Abbas radiallahu 'anhuma)  katanya :  telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:

" Tiada daripada sekalian hari amal yang salih didalamnya lebih suka Allah kepadanya daripada sekalian hari 10 panggal daripada bulan Zulhijjah."

Sabda Nabi itu sangatkah menggemarkan orang yang salih iaitu orqng yang sukakan banyqk bekal akhiratnya dan loba kepada mendapatnya. Manakala sahabat Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam mendengarkan katanya itu loba hati mereka itu suka mendengarkan betapalah besar kesukaan Allah.

Adakah lebih suka Allah daripada orang pergi sabilillah membuang nyawa kerana meninggikan ugama?
Apakala  telah tetap di hati sahabat suka tahukan demikian lalu bertanya mereka itu. Kata mereka ; Ya Rasulullah!  Dan tiada  perang dalam sabilillah (perang sabilillah ) yang kita berhabis nyawa kerana memajukan ugama Islam itu pun tiada suka Allah lebih daripada sukakan amal yang salih didalam 10 hari panggal Zulhijjah. Amboi!! Kalau lebih jua amal yang salih dalam 10 hari panggal Zulhijjah itu daripada perang sabilillah maka rugi sekali meninggalkannya dan tiada ambil berat akan dia kerana kelebihannya itu.
Apakala didengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam akan pertanyaan mereka itu, maka ia pun lalu menjawabnya:

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam:
" Tiada perang sabilillah itu lebih suka tuhan daripada amal yang salih dalam 10 hari panggal Zulhijjah, melainkan seorang laki-laki yang keluar ia dengan sendirinya beserta hartanya, tiba tiba tiada kembali pulang daripada yang demikian itu suatu (mati seorang itu serta habis hartanya didalam perang itu, maka orang yang begini tuhan lebih suka daripada amal yang salih dalam 10  hari panggal Zulhijjah. Kerana sudah ditebusnya akan kalimatullah hiyal 'ulya dengan jiwanya dan hartanya maka yang demikian itu tiadalah suatu ibadat lebih mengatasinya."

Kata Abu Esa (at-Turmizi) - pada bab ini ada riwayat daripada Ibnu Umar dan Abi Hurairah dan Abdullah bin Amru dan Jabir. Dan katanya lagi bermula hadis Ibnu Abbas ini hadis hasan lagi sahih lagi garib. Dan telah dikeluarkan dia oleh bukhari didalqm sahihnya.

Juz ke 5 ms.124-125

Wednesday, April 16, 2014

Belas Kasihan Dan Maaf

Hadis yang membicarakan belas kasihan dan memaafkan apa kesilapan orang. ketahuilah wahai saudaraku sesungguhnya manusia itu ada yang berbudi dan berbakti dan ada yang sebaliknya (tidak mahu berbudi dan berbakti).  maka sekiranya engkau terjumpa orang yang tiada mahu berbudi dan berbakti kepadamu janganlah pula kamu sapertinya.

Misalnya: 
Pergi kamu kepada seseorang, tiba-tiba tiada kamu di perduli dan di tegurnya dan tiada di ajaknya duduk. Kemudian datang pula ia kepada mu, janganlah kamu memperbuat dia saperti ia memperbuat kamu semasa kamu pergi kepadanya. Bahkan tegurkan dia , muliakan, hormatkan, ambil perduli dan ajak ia naik  ke rumah.  Jamu dia apa yang ada padamu, lawan ia bercakap dan berbual dan muliakan apabila ia mahu meninggalkan kamu. Demikian itulah yang di suruh oleh syara'

Dalil
Hadits yang di keluarkan oleh Abu Esa at-Turmuzi (maknanya):

Di riwayat daripada seorang sahabat Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, namanya Malik bin Tadhlah Al-Jusyamiy radhiallahu 'anhu, katanya berkata aku kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam ; "Ya Rasulullah, seorang laki-laki hamba lalui akandia (telah melalui hamba) di rumah satu orang, maka tiada  di perdulikannya hamba, tiada di tumpangkannya hamba di rumahnya dan tiada di jadikannya hamba Dhif nya (tiadalah diajaknya hamba singgah di rumahnya makan apa yang kiranya redha dan ada padanya memberi hamba). Kemudian melalui pula ia di rumah hamba dan di tempat hamba, maka adakah hamba balas akan dia sebagaimana ia memperbuat hamba itu (tidak hamba perduli akandia dan tiada hamba tegur dan ambil indah akan dia pula?"
Sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam : " Jangan  buat tidak perduli dengan sebab tidak berbudi ia padamu dan tidak perduli ia akan kamu dahulu itu, bahkan beri ia menumpang pada mu apakala ia hendak menumpang bermalam, kasihanlah kamu kepadanya dan jangan ambil salah perbuatannya keatasmu dahulu itu. Muliakan dia dan jamu makan dan sambut kedatangannya dengan baik sebagaimana kamu memperbuat sekalian dhif kamu."
Kata Malik " Dan telah dilihat oleh Nabi akan daku memakai pakaian buruk-buruk, maka sabdanya; "Tidakkah ada bagimu harta."


Masalah:

  • Menegur saudara berharta supaya memakai yang bersih dan bagus (2).
  • Mendzahirkan nikmat Allah (3).
  • Berbudi kepada orang disuruh syara'(4)
  • Berbudi dengan menanti orang berbudi (5)


MENEGUR  SAUDARA  BERHARTA SUPAYA MEMAKAI YANG BERSIH DAN BAGUS (2)

Menegur saudara yang berharta memakai buruk. Dengan sepotong hadis yang di atas ini boleh seorang guru atau orang yang patut menegur itu menegur orang-orangnya atau sahabatnya dan anak pinaknya atau saudara maranya dan sebagainya supaya jangan memakai buruk, jika orang itu berharta. iaitu menurut sebagai perbuatan Nabi itu mengajar dan memberi nasihat, sebagaimana Nabi mengajar sahabatnya yang berharta namanya Malik tadi.
Apakala didengar oleh Malik akan pertanyaan Nabi di atas tadi maka ia pun menjawabnya, kataku kepada Nabi; "Daripada sekalian harta sesungguhnya telah diberi Allah akan daku unta dan biri-biri." Bila Nabi dengar akan katanya demikian itu lalu sabdanya; " Maka hendaklah kamu lihatkan dan dzahirkan nikmat Allah yang dikurniaNya padamu itu daripadamu."



MENDZAHIRKAN NIKMAT ALLAH (3)

Mendzahirkan nikmat Allah yang telah dikurniaNya pada mu, itulah yang disuruh oleh syara' kita sebagaimana tersebut didalam sepotong hadits di atas itu tatkala sudah disahut oleh Malik akan pertanyaan Nabi  bahawasanya dirinya berharta unta dan kibasy, maka Nabi pun mengajar akandia dengan sabdanya;   " Apakala kamu sudah ada harta janganlah buat semacam ini memakai pakaian yang buruk dan rupa hodoh semacam orang sakai tak tahu yang elok dan tak tahu syukur akan nikmat Allah.  Bila sudah ada dikurnia Tuhan akan nikmat mengapa tidak didzahirkan nikmat itu, beri makan anak isteri kamu berluas sepatutnya dan bersihkan pakaian kamu dengan pakaian yang baru dan cuci, atas sekira-kira ada persalinan yang baik, kemudian bersedekah kamu dan berbuat khairat.  Apakah gunanya harta itu dicari bukankah harta itu nikmat Allah.  Kalau sudah kamu tahu ia nikmat Tuhan yang telah dikurniaNya kepada mu, gunakanlah pada tempat yang diredhaNya, bukan disuruh syara' himpun  dan cari dengan tidak digunakan pada tempatnya, bahkan dikuriaNya kamu itu supaya syukur kamu dengan memperbuat sebagai suruhNya."
Kata Abu Esa dan pada bab ini ada riwayat daripada Siti Aisyah, Jabir dan Abi Hurairah dan bermula ini hadits hassan lagi shahih.



BERBUDI KEPADA ORANG DISURUH SYARA’ (4)


Berbudi kepada orang itu disuruh syara’ kita (Mahulah seseorang sentiasa berbuat bakti dan berbuat baik kepada saudaranya) dengan mengharap pahalanya daripada Allah jua dan tidak memandangkan apa balasan daripada tempat yang dibuat bakti. Maka tolonglah siapa yang patut di tolong, dan berilah apa-apa suatu hajat kepada yang berhajat, dan sempurnakan apa suatu kemahuan saudara mu, jikalau belum pernah engkau melihat budinya sekalipun.  Demikianlah disuruh oleh syara’ kita dengan dalil hadis saperti dikeluarkan oleh Abu Esa at-Turmizi dengan katanya; diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam lagi tempat simpan rahsianya, namanya Huzaifah  ibnul Yaman radhiallahu ‘anhuma, katanya telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam; “ Jangan ada sekalian kamu itu melampau-lampau pak turut orang-orang pada baiknya sama-sama baik dan pada tak baiknya sama-sama tak baik, berkata sekalian kamu jika berbuat baik orang pada kami nescaya berbuat baik kami, dan jika tidak berbuat baik orang nescaya tidak berbuat baik kami.



BERBUDI DENGAN MENANTI ORANG BERBUDI (5)

Berbudi dengan  menanti akan orang berbudi itu dikeji syara’ saperti yang tersebut diatas (masalah 4) itu.  Maka janganlah dikata dan dinanti orang berbuat baik pada mu barulah kamu membalas akandia baik, atau memandangkan dia orang tak mau berbuat baik kamu pun tak mau berbuat baik, saperti kamu nampak dia orang takkan menolong kemudian kamu pun membiarkan dia, dia orang kamu nampak tak kan memberi maka kamu pun tak mau memberinya pula, dia orang tak mau bermuafakat dengan mu maka kamu pun tak mau masuk muafakatnya yang baik. Maka sekalian itu tiada baik kepada mu.  Maka yang lebih baiknya ikut turut saperti sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya;  “Dan tetapinya yang lebih baik itu sediakan dirimu berbuat baik kepada mereka itu, dan jika tidak berbuat baik mereka itu akan sekalian kamu, maka jangan sekalian kamu berbuat tidak baik akan mereka itu, dan jika mereka itu memberi mudarat kepadamu maka yang lebih baiknya memaafkan mereka itu.” (Kata Abu ‘Esa at-Turmizi – bermula ini hadis hasan lagi gharib, tiada kami ketahui akandia melainkan daripada ini wajah).


[Bahrul Mazi Juz 14(ms 2-5)]